Disakat Lembaga Terbang
Inilah masa terbaik untuk aku mencurahkan segala skill memancing yang aku
miliki. Dan minggu ini setelah berbincang dengan teman seangkatan, Che Din
kami sepakat memilih Tasik Bera sebagai
Apabila mempastikan semua barangan keperluan seperti joran, mata kail, batu
ladung, lampu suluh, pisau,
Che Din mula berangkat meninggalkan rumah sewa. Kami bercadang untuk mencari
umpan atau membelinya di dalam perjalanan nanti.
Setelah beberapa jam perjalanan aku melihat Che Din sudah lena dibuai mimpi.
Suasana sunyi mengundang kebosanan, walaupun kiri kanan jalan kaya dengan
keindahan alam semulajadi, bagi aku sebagai budak kampung ini semua sudah
menjadi perkara biasa. Untuk menghilangkan kesunyian aku menghidupkan radio,
tetapi agak perlahan sebab aku tidak mahu mengganggu mimpi Che Din.
Sebaik sampai di tempat yang dituju dan membeli umpan daripada penjual yang
terdapat di situ. Tanpa berlengah lagi kami terus mencari 'port'
masing-masing. Aku memilih untuk duduk di bawah rimbunan pokok bakau yang
terletak betul-betul di tepi tebing tasik. Begitu juga dengan Che Din juga
memilih 'port' yang baik tidak jauh dari aku. Selang beberapa minit dua
joran aku sudah sedia terendam di dalam tasik menunggu mangsa.
Tasik Bera memang terkenal dengan ikan-ikan air tawarnya, jadi tidak
hairanlah kalau pada hari itu agak ramai juga kaki pancing yang lain turut
leka dengan joran masing-masing. Tetapi ada juga antara mereka hanya datang
sekadar menonton gelagat pemancing bertarung dengan ikan-ikan di sini.
Zuuuupppp......, zuuuuppppp......, dua lagi pancing aku lepaskan. Cukup
kelima-lima pancing aku sedia menanti mangsa. Aku sedia menunggu dan mula
memasang angan-angan. Moga-moga pancing aku disambar kelah. Aku lihat Che
Din juga sudah mula menyandarkan badannya ke pokok bakau sambil menyedut
rokok gudang garam kegemarannya.
Matahari mulai terbenam, tetapi peliknya satupun joran aku tidak terusik,
Setelah beberapa kali mengganti umpan ternyata pada hari tersebut ikan
seolah-olah terlalu kenyang. Begitu juga dengan Che Din, aku lihat dia juga
gelisah menanti, satu demi satu rokok disambung, ikan tidak dapat-dapat.
Perut pun sudah mula menyanyi minta di isi, apa lagi akupun makanlah beb!
Sambil makan mata aku tak lepas dari terus memandang gigi air, entah macam
mana ada sesuatu yang menarik perhatian aku seolah-olah sedang menari-nari
di atas permukaan air tidak jauh dari tempat aku duduk. Aku amati objek
tersebut betul-betul untuk pastikan apakah bendanya. Sekali pandang macam
ikan terbang pun ada. Tapi hati kecil aku berkata sendiri mana ada ikan
terbang dan kalau adapun takkan bercahaya macam lampu pula.
Aku semakin mengamatinya tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah objek
tadi tiba-tiba berubah menjadi lembaga seperti kepala manusia dengan rambut
panjang menghurai dan muka yang cukup menggerunkan. Ia semakin menghampiri
dan aku dapat melihat dengan jelas wajahnya yang buruk serta dipenuhi ulat
tersebut.
Dalam keadaan ketakutan dan menggigil ini aku
tetapi mulutku terkunci. Dalam pada itu, lembaga tersebut terus terbang
menuju ke arahku semakin lama semakin hampir. Aku terpaku dan tidak tahu nak
buat apa yang aku dapat rasakan ialah seluarku mulai basah. Aku rasa semakin
lemah dan akhirnya tidak sedarkan diri.
Apabila aku membuka mata, aku sudah berada di rumah sewa dan jiran-jiranku
ada di sebelah. Seribu satu persoalan bermain di benak ku, tetapi aku masih
lemah untuk bertanya itu semua kepada Che Din. Che Din hanya memberitahu
yang aku disampuk. Apabila mengenang semula apa yang berlaku aku masih tak
dapat nak bayangkan rupa sebenar lembaga tersebut.
Che Din mengatakan dia melihat aku seolah-olah dipukau oleh sesuatu dan
langsung tidak menghiraukan panggilannya. Melihat keadaan aku yang semakin
tidak terarah, Che Din kemudiannya mengemaskan semua kelengkapan memancing
dan dengan bantuan beberapa orang pemancing lain di situ, aku telah
diusungnya ke kereta dan di bawa pulang.
Sebaik sampai di rumah Che Din telah meminta bantuan Pak Imam, (jiran kami)
barulah keadaan aku kembali pulih. Bagaimanapun hingga kini aku masih lagi
tidak dapat membayangkan apakah lembaga yang mengganggu aku ketika itu, aku
menjadi serik untuk memancing di waktu senja.
Arwah rakan beri ikan sembilang
Oleh Saiful Bahrin Mohd ShariffKami terdiri daripada enam orang sahabat yang amat meminati memancing dan bersukan. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan 1989. Kumpulan kami terdiri daripada Pak Su, Man, Amir, Sham, penulis dan Rahmat. Lokasi yang kami tuju ialah Pantai Bersih, Bagan Ajam dekat Butterworth, Pulau Pinang.
Pada awal 1987, penulis menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Shah Alam selama tiga tahun. Ketika itu terbantutlah segala aktiviti memancing buat seketika. Sehinggalah pada cuti semesta, penulis bercuti sebulan untuk menunggu keputusan peperiksaan.
Penulis pun pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti yang agak panjang. Pada suatu petang, penulis turun ke padang untuk bermain bola bersama rakan sekampung. Hampir waktu Maghrib kami berhenti bermain sambil berehat di tepi padang. Penulis tertanya sesuatu pada rakan mengenai gerangan Hamid (bukan nama sebenar). Kenapa beliau tidak ada bersama petang itu. Selalunya beliau akan bermain di posisi sayap kanan. Oleh kerana soalan demi soalan aku ajukan, barulah Pak Su menyatakan bahawa Fandi sudah meninggal dunia empat bulan yang lalu akibat jatuh dari bumbung rumah. Penulis terasa amat simpati dan sedih atas kehilangan beliau.
Pada suatu hari, kami merancang untuk memancing seperti biasa di Pantai Bersih. Segala rancangan diatur dengan baik. Kami difahamkan ketika itu adalah musim sembilang. Kali ini, tinggal kami berlima saja tanpa kehadiran arwah Fandi.
Perjalanan kami dari rumah untuk ke lokasi hanya 45 minit dengan berbasikal. Kami tiba di Pantai Bersih jam 10.30 malam. Pada mulanya kami duduk setempat. Selepas satu jam berlalu, cuma anak gelama yang sudi menjamah umpan.
Pak Su dan Man pun menukar tempat ke lokasi lain. Tinggallah penulis, Amir dan Rahmat dalam kedudukan berhampiran. Masa terus berlalu. Penulis mula terasa bosan. Akhirnya penulis mengambil keputusan menukar tempat duduk ke lokasi lain tidak jauh dari Amin dan Rahmat.
Pak Su dan Man entah ke mana. Hanya lampu pelita mereka yang nampak samar-samar dari jauh. Jam di tangan menunjukkan hampir 2.20 pagi. Hasil tangkapan kurang memuaskan.
Oleh kerana amat bosan, penulis menghisap rokok demi menghalau nyamuk dan agas yang mengganggu telinga. Tidak semena-mena. ada orang datang menghampiri aku dengan membawa beberapa ekor ikan semilang besar-besar belaka. Orang itu menegur penulis mengenai hasil tangkapan yang diperoleh.
Dengan hati sedikit kecewa penulis menjawab: “Takde apa.”
Hati penulis mula goyah dan gelabah. Daripada segi fizikal dan suara, orang itu amat penulis kenali. Setahu penulis, arwah Hamid memang merokok. Lalu penulis bertanya pada beliau: “Hang siapa?”
Orang itu menjawab: “Aku Hamid... kawan hang. Takkan dah tak kenal kot!”
Penulis terus terasa seperti hendak pitam. Tubuh terasa sejuk dan pucat. Cepat-cepat penulis terus bingkas dan berlari meninggalkan orang itu bersama peralatan pancing. Penulis terus mengayuh basikal sepantas yang boleh untuk pulang ke rumah. Keesokan harinya rakan lain datang ke rumah untuk bertanyakan hal semalam dan kenapa penulis pergi meninggalkan mereka tanpa memberitahu sesiapa pun.
Dalam keadaan badan terasa demam, penulis menceritakan peristiwa semalam yang dialami. Semua rakan kehairanan dan terpinga-pinga antara percaya dengan tidak. Suatu perkara yang meyakinkan penulis iaitu suara dan bentuk badan Hamid yang agak jelas sekali malam itu.
“Orang itu memakai kemeja-T putih lengan panjang,” cerita penulis lagi.
Kini hampir 20 tahun berlalu. Penulis pun sudah berumah tangga. Malah tugasan memisahkan penulis dengan rakan sekampung lain dan kami jarang dapat melakukan aktiviti memancing bersama. Namun kini hanya anak penulis sebagai teman memancing di ketika masa lapang. Kami akan ke kolam pancing komersial di sekitar Butterworth dan Pulau Pinang.
Diserang gerombolan lembaga putih
Oleh Nuri AngkasaHUJAN lebat berterusan berserta dengan angin kencang dan guruh bersahutan. Namun, kumpulan empat kaki pancing udang galah itu meneruskan misi mereka ke hulu Sungai Lembing, Pahang yang sangat terkenal dengan spesies sepit biru yang sangat lazat isinya.
HUJAN lebat berterusan berserta dengan angin kencang dan guruh bersahutan. Namun, kumpulan empat kaki pancing udang galah itu meneruskan misi mereka ke hulu Sungai Lembing, Pahang yang sangat terkenal dengan spesies sepit biru yang sangat lazat isinya.
Mereka berehat di hujung kampung penempatan masyarakat Orang Asli yang belum begitu tersusun. Kelompok etnik itu sudah dapat menerima perubahan kecil sekali gus keluar dari kepompong cara hidup lama. Limat yang mengetuai kumpulan empat pemancing itu adalah anak tempatan Temerloh. Dia sudah biasa dengan sungai di sebelah sini. Melihat keadaan cuaca buruk yang berterusan, Limat membatalkan hasrat ke hulu Sungai Lembing. Tambah pula air sungai sangat deras dan mula melimpah tebing.
Sebuah pondok lama yang sudah ditinggalkan mereka gunakan untuk berteduh. Jika keadaan memaksa, mereka akan terus bermalam.
“Jika keadaan bertambah buruk memang kami merancang tidur di situ,” cerita Karim yang turut menyertai kumpulan itu.
Dia berkata, malam itu mereka dikejutkan dengan air banjir dari limpahan sungai sudah mencecah lantai pondok berkenaan. Mereka mula cemas apabila mendapati air naik begitu pantas. Pada masa sama, hujan semakin lebat.
“Tetapi kami bernasib baik apabila beberapa buah sampan kayu penduduk Orang Asli datang memberi pertolongan lalu membawa kami ke kawasan selamat di atas sebuah bukit. Di sana pun sudah dipenuhi oleh penduduk Orang Asli yang diselamatkan dari perkampungan penempatan yang sudah ditenggelami air limpahan Sungai Lembing.
“Keadaan bertambah buruk dan mencemaskan apabila beberapa ekor ular sawa besar turut mencari mangsa tetapi berjaya dihalau oleh seorang lelaki tua yang dianggap sebagai bomoh di kalangan penduduk di situ,” katanya.
Limat diberi layanan baik walau pun keadaan makin terdesak kerana air terus naik. Namun itu tidak membimbangkan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan yang sudah biasa dengan keadaan seperti itu.
Tetapi bagi Limat dan kawannya menganggap kejadian itu satu pengalaman baru. Menjelang tengah malam itu, mereka dibawa berpindah ke satu lagi kawasan selamat oleh pembantu ketua Orang Asli. Ini kerana menurut ketuanya bahawa mereka perlu diselamatkan sebelum keadaan bertambah buruk. Mereka tiba di kawasan kecil tetapi tempatnya menarik. Mereka dibekalkan dengan sedikit makanan yang sudah dimasak. Beberapa orang yang dibawa khas mula membuat kerja mendirikan pondok serta unggun api di tengah kawasan lapang. Kumpulan itu kemudian meninggalkan Limat dan kawannya sebaik saja semua keperluan sudah disiapkan.
Pertolongan yang diberikan oleh masyarakat Orang Asli itu sangat bererti buat mereka, cerita Karim lagi sambil mendakwa bahawa pada malam itu mereka bagaikan terpukau lalu tidur dengan nyenyak hingga pada saat-saat terjaga dengan satu kejutan yang sangat menakutkan. Mereka terdengar hilai ketawa mengelilingi kawasan itu. Kelihatan lembaga putih berterbangan.
“Kami ketakutan tetapi Limat tidak menunjukkan perubahan dan tetap tenang. Dia duduk bersila kemas sambil membaca sesuatu yang tidak kami dengar dengan jelas. Tetapi nyata dia cuba menghalau makhluk putih yang mengilai dengan lebih garang itu daripada mendekati kami.
“Limat cuba diheret keluar dari pondok tetapi kerana duduknya yang kemas serta amalan yang tidak kurang hebatnya lembaga putih itu kemudian meninggalkan kawasan kami untuk beberapa waktu. Tetapi lembaga itu datang semula dengan bilangan yang lebih banyak sambil mengilai dengan bunyi yang lebih mengerikan,” katanya.
Dek kerana ketakutan, mereka berpelukan sesama sendiri. Namun Limat cekal membaca ayat al-Quran. Pondok tempat mereka berteduh digoyang dengan kuat dan hampir roboh.
“Limat bangun lalu melaungkan azan dengan kuat. Pondok roboh dan kami terbaring di atas tanah perkuburan dengan batu nesan yang bertaburan.
“Kami semakin terkejut tetapi Limat merasa syukur sebaik saja menamatkan laungan azan yang sekali gus melenyapkan gangguan lembaga putih yang mengganggu mereka pada dinihari sebelum subuh itu.
Paling menghairankan apabila mereka sebenarnya berada di tengah-tengah kawasan perkuburan Islam di sebuah kampung Melayu di Sungai Lembing dan bukan perkampungan Orang Asli seperti yang berlaku dalam tragedi misteri yang dilalui sepanjang hari dan malam itu.
“Limat tidak banyak bercakap malah terus membawa kami pulang sambil singgah di sebuah surau dalam perjalanan pulang. Kami solat sunat kesyukuran dan doa selamat yang diimamkan sendiri oleh Limat.
“Apa yang berlaku adalah satu misteri bagi kami dan tentunya banyak lagi misteri yang dilalui oleh kaki pancing dalam kisah yang berlainan,” kata Karim menamatkan perbualan.
Suara melolong atas jambatan
Oleh Noh IsmailAZMAN, begitulah nama abang penulis yang lebih mesra kami panggil Itam saja. Itam anak kelima daripada sepuluh adik-beradik. Sewaktu bersekolah rendah, kami adik-beradik suka merayap di kawasan paya dan hutan berhampiran kampung atau memancing ikan. Masa itu sekitar tahun 70-an, masih banyak lagi ikan seperti haruan, putih, terbol dan keli dalam paya atau anak sungai tidak jauh dari rumah kami.
AZMAN, begitulah nama abang penulis yang lebih mesra kami panggil Itam saja. Itam anak kelima daripada sepuluh adik-beradik. Sewaktu bersekolah rendah, kami adik-beradik suka merayap di kawasan paya dan hutan berhampiran kampung atau memancing ikan. Masa itu sekitar tahun 70-an, masih banyak lagi ikan seperti haruan, putih, terbol dan keli dalam paya atau anak sungai tidak jauh dari rumah kami.
Apabila kami dewasa dan berkeluarga, masing-masing tinggal berjauhan bersama keluarga. Itam masih meneruskan hobi memancing dan boleh dikategorikan sebagai pemancing tegar. Bagaimanapun Itam hanya memancing di laut atau pulau, tepian pantai atau kuala sungai.
Dia tidak berapa gemar memancing di darat kerana geli dengan pacat. Sepanjang pembabitan dalam aktiviti memancing, Itam tidak pernah berhadapan atau mengalami peristiwa ganjil atau misteri. Cuma ketika zaman persekolahan dulu banyak juga kejadian menakutkan dialami ketika kami memancing ikan. Kami pernah dikejar beruk, terserempak ular tedung selar yang berdiri tiga suku badan ketika memancing udang galah di Sungai Semangar dan sesat ketika mencari jalan untuk ke Sungai Sayong.
Bagaimanapun itu semua tidak menghalang kami meneruskan hobi ini. Apabila datang rasa gian hendak memancing, Itam sanggup pergi seorang diri walaupun malam hari. Kadang-kadang jika anaknya tidak bersekolah, Itam akan membawanya ke lokasi. Tetapi selalunya Itam lebih banyak pergi seorang diri. Itam yang tinggal di Pasir Gudang, Johor, sanggup memandu seorang diri waktu malam menuju ke sebatang sungai di Sedili, Kota Tinggi, hanya untuk melepaskan giannya memancing. Bagaimanapun sejak berlaku satu peristiwa yang menakutkan ini, Itam tidak lagi berani pergi memancing sejauh itu seorang diri. Kejadian itu berlaku kira-kira dua tahun lalu.
Kisahnya begini. Satu malam selepas Maghrib, Itam memandu kereta seorang diri bersama kelengkapan memancing menuju ke sungai di Sedili dari rumahnya di Pasir Gudang. Sebenarnya, itu bukan kali pertama dia ke situ untuk memancing. Sungai direntang dengan jambatan. Di jambatan itulah Itam memancing ikan sembilang, gemang, tetanda, siakap merah, gelama dan lain-lain.
Tiba di situ kira-kira jam 11 malam, Itam pun terus melabuhkan umpan hirisan ikan ke dalam sungai yang mengalir di bawah jambatan. Kebetulan malam itu ada sekumpulan pemancing, di sebuah jeti kecil kira-kira 100 meter dari jambatan. Malam itu agak gelap. Hanya suara mereka yang kedengaran. Itam mengagak mungkin ada tiga atau empat orang memancing di situ.
Tiba-tiba Itam terdengar suara sayup di seberang sungai. Suara itu tidak pernah di dengarnya sebelum ini. Hendak dikatakan suara anjing bukan, suara burung pun bukan. Suara itu semakin lama semakin jelas. Ia seakan-akan lolongan serigala. Suara itu dari udara! Serentak dengan bunyi aneh itu, tiba-tiba Itam terdengar kumpulan pemancing yang di atas jeti menjerit.
“Jangan kacau!...” Kemudian kumpulan pemancing itu bergegas masuk kereta. Kedengaran bunyi enjin kereta memecut laju meninggalkan jeti tempat mereka memancing. Itam tercengang kehairanan. Bunyi melolong yang didengar tadi sudah berada di jeti. Tidak lama kemudian bunyi yang menyeramkan itu menuju ke arahnya. Bunyi yang seakan-akan ketawa dan melolong itu betul-betul berada di atas pokok berhampiran jambatan.
Itam serta-merta terus menggulung pancing dan mencampaknya ke dalam but kereta yang sedia terbuka. Bunyi lolongan itu masih jelas kedengaran tetapi entah apa bendanya Itam pun tak pasti. Yang penting dia perlu meninggalkan jambatan itu. Enjin kereta dihidupkan. Itam menekan pedal minyak, memecut meninggalkan tempat berkenaan tanpa menoleh ke belakang. Sejak itu Itam tidak pernah pergi ke jambatan itu lagi untuk memancing. Suara melolong yang menyeramkan itu masih terngiang-ngiang lagi di telinga Itam.... mungkinkah hantu, mungkinkah jembalang?
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Pontianak berang dilontar batu
Oleh Zahar AliRAMAI pemancing pasti akan berdepan dengan pelbagai ujian dan pengalaman sepanjang mereka menceburkan diri sebagai pemancing sama ada suka, duka dan kadang-kadang aneh serta tidak kurang yang kelakar.
Ini adalah satu pengalaman penulis yang tidak dapat dilupakan apabila terserempak dengan makhluk Allah yang lain ini ketika memancing di Sungai Pulau Kerengga, dekat Marang, Terengganu pada 2000.
Ceburan air di suatu sudut penghujung sungai betul-betul mengejutkan penulis yang sedang berjalan merentasi jambatan untuk menghantar pesanan makanan yang dipinta oleh tetamu di resort tempat penulis mencari rezeki. Terdetik di kepala penulis betapa rakusnya pemangsa meragut enak anak ikan di permukaan air. Jelas sekali-sekala kelibat merah sisiknya. Penulis pasti itu ikan siakap merah.
Sungai yang menghubungkan Kuala Merchang ini dinamakan Sungai Pulau Kerengga. Oleh kerana terbinanya resort yang terkenal dengan gelaran Marang Resort & Safari maka sungai ini diberi nama jolokan Sungai Safari.
Selesai menjalankan tugas harian, penulis menyusun rancangan untuk menduga penghuni sungai itu bersama rakan sekerja iaitu Man Rimau dan Jeri yang sememang kedua-duanya pemancing tegar. Jam 3 petang, penulis terus pulang ke rumah dan bersiap untuk mencari umpan yang ketika itu amat mudah dicari berikutan hujan sering melanda kawasan itu beberapa hari sebelumnya.
Tiga kali tangguk, Man Rimau berjaya mengisi balang kosong dengan lebih kurang empat puluh ekor anak ikan sepat. Kami tersenyum puas. Umpan sudah tersedia. Kami pulang ke rumah untuk berehat sementara menunggu air pasang petang kira-kira jam 7 malam. Tepat 6.30 petang, penulis sampai ke tebing sungai sementara menunggu rakan lain. Penulis mencuba teknik casting menggunakan gewang. Balingan pertama disambar dengan kuat seekor ibu toman yang akhirnya tewas selepas pertarungan selama 20 minit. Tujuh kilogram lebih, itulah berat yang dicatat. Teriakan rakan penulis memecah sunyi petang di sungai itu.
“Rimau kau! Tak tunggu aku pun.”
Man Rimau yang memang sudah menjadi trade marknya untuk ayat yang tak sepatutnya diucapkan pada sesetengah tempat.
“Apalah kau ni Man. Sebut ‘datuk’ (harimau) pulak. Bila dia datang, semua lari tak cukup tanah,” kata penulis.
Pusingan pertama kami berjaya menaikkan empat ekor siakap mereka bersaiz sederhana. Aksi tarik-menarik dan bunyi kekili membuatkan kami tidak berganjak dari tempat itu.
Sehingga jam 9 malam, semuanya sunyi. Tiada lagi aksi tadi dan anak ikan menghilangkan diri. Sambil merebahkan badan, penulis menyalakan rokok. Sesekali mata menjeling hujung joran usang yang setia berkhidmat begitu lama. Sememangnya jenama Shimano menjadi pilihan penulis untuk bertarung baik di sungai atau pantai.
Satu denyutan dapat dilihat pada hujung joran. Penulis lantas bingkas bangun untuk melibas getaran itu. Bengkok 45 darjah dibuatnya. Libasan penulis mengena. Adegan tarik-menarik berlaku. Besar juga rezeki aku ni, bisik hati penulis.
Kekili dipusing dengan cepatnya. Sampai ke tebing, penulis terpinga-pinga kerana hanya tempurung kelapa yang tersangkut pada mata kail.
Masing-masing resah melihat kejadian itu. Penulis mengandaikan itu berlaku secara kebetulan. Penulis terus memancing dengan membetulkan mata kail dan melontar semula umpan ke perut sungai.
“Har, bau bedak sejuk siapa yang pakai ni?” tanya Man Rimau pada penulis. Memang sedari tadi penulis juga terhidu bau yang sama tetapi cuba mendiamkan diri.
“Tak ada apalah Man. Agaknya bau sampah. Kau ni, mulut tak ada insuran,” penulis cuba menenangkan yang lain. Jeri sudah lama terlena kesan daripada kesunyian aksi.
“Har! Baunya makin kuat dan macam dekat sangat dengan kita. Aku rasa tak sedap hatilah. Jomlah balik,” Man Rimau bersuara dengan dahinya yang berkerut.
Berbekalkan apa yang pernah dipelajari sebelum ini, penulis mengambil anak batu dan mengucapkan ‘siapalah kau, aku nak tengok kewujudan kau’. Anak batu itu penulis baling ke perut sungai. Seketika itu tiada apa-apa yang berlaku.
“Man! Kejutkan Jeri. Kemaskan barang,” penulis memberi arahan. Satu suara mengilai nyaring dapat kami dengar dengan jelas.
“Man! Jangan berpecah dari aku. Jalan seiring, jangan pandang atas, dia memang ada,” penulis mengingatkan rakan lain.
“Macam mana ni? Aku rasa dia marah kat engkau. Tadi kau cabar dia,” Man mengeluh. Penulis hanya membalas dengan mendiamkan diri.
Berderap-derap bunyi batu sepanjang jalan kami pijak ketika mengundur diri dari tebing sungai.
Tiba-tiba kami diteduhi oleh satu bayang makhluk yang besar kembang di atas kepala kami. Bayangnya melitupi cahaya bulan di atas kami. Dari ekor mataku, jelas kelihatan wajah busuk seorang perempuan yang berpakaian koyak dan berselirat dengan kain putih yang lusuh, mengembangkan tangannya meredah angin sambil menampakkan kemarahannya pada penulis.
“Ya Allah, andainya ini dugaan-Mu padaku, jadikan aku orang yang tetap imannya dan matikanlah aku di kalangan orang diterima taubatnya,” penulis berdoa sambil memegang bahu rakan menuju ke kereta.
Akhirnya kelibat pontianak itu tidak kelihatan lagi. Sepanjang jalan pulang, kami hanya membisu dan terkunci lidah untuk berkata-kata. Peristiwa itu masih segar dalam ingatanku hingga hari ini. Bagaimanapun penulis masih lagi tidak serik untuk berkunjung ke sana.
Bagi penulis, bumi Allah ini bukan untuk kita saja. Ada bahagian untuk makhluk lain dan kita sebagai manusia mempunyai hak terhadap sebahagian kecil daripadanya. Wallahualam.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Gangguan pontianak, buaya di Lubuk Cawan
Oleh Nuri Angkasawww.pakdeen.cartoon.com |
DUA jam menongkah arus, mereka masih belum tiba di Lubuk Cawan. Sepatutnya mereka sudah berada di lokasi berkenaan.
Malah mereka sepatutnya sudah mula mendaratkan udang galah bersepit biru atau ikan baung bermisai panjang di situ, cerita Nathan kepada penulis sebaik bertemu dengannya di warung Rajis di pekan kecil Lubuk Paku dekat Maran, Pahang, baru-baru ini.
Nathan yang dibesarkan dalam perkampungan Melayu dikenali namanya sebagai Nathan. Dia fasih bercakap Melayu dan berkawan dengan masyarakat Melayu serta mengamalkan budaya Melayu.
Menceritakan pengalaman mencari Lubuk Cawan yang hilang ketika turun memancing di hulu sungai Pahang beberapa tahun lalu, Nathan masih terngiang-ngiang suara halus nyaring mengilai ketika melalui kawasan yang dianggap keras itu. Tetapi Panjang Andak yang berdarah keturunan Orang Asli, terkenal dengan berani malah sanggup bertindak dalam apa jua keadaan jika tercabar.
Saat-saat yang melahirkan misteri yang masih kekal tersimpan dalam ingatan mereka ialah pertarungan Panjang Andak dengan seekor buaya besar yang kononnya cuba menghalang perjalanan mereka ke Lubuk Cawan.
Pertarungan yang menakutkan itu mengambil masa hampir dua jam tetapi ternyata Panjang Andak terus memeluk badan buaya yang sentiasa membawanya ke dasar sungai.
Tanpa menggunakan sebarang senjata, Panjang Andak timbul di permukaan sungai seorang diri lalu naik semula dalam sampan sambil membuang bajunya yang sudah koyak rabak ketika bergelut dengan buaya.
“Kami berpandangan dengan dua rakan pancing yang lain,” cerita Nathan sambil menggeleng kepala mengingati peristiwa berani dan cemas itu.
Panjang Andak tidak bercakap selepas peristiwa itu hampir 30 minit. Namun perjalanan ke hulu Sungai Pahang diteruskan. Hari sudah hampir senja. Keadaan sepanjang sungai yang sudah mengecil itu bagaikan ada bola mata yang memerhatikan mereka.
Mereka mula rasa takut, tetapi Panjang Andak sesekali bercakap dalam bahasa yang luar biasa. Tidak pernah mereka dengar cuma sesekali ada terdengar bunyi bahasa Orang Asli tulen.
Malam itu mereka terus mencari Lubuk Cawan menggunakan lampu suluh berkuasa tinggi. “Mungkin tak jumpa lubuk tu,” Panjang Andak tiba-tiba bersuara.
“Kenapa Njang,” tanya Karim yang masih dalam ketakutan.
Lama Panjang Andak tidak menjawab. Ada sesuatu yang difikirkan. Mereka yang lain pun tidak mengulang tanya. Suasana menjadi sepi semula. Sesekali terdengar kocak air yang kuat dari tebing sungai sambil mencelah bunyi suara-suara yang berbagai dan tiupan angin yang bukan kehendak alam.
Panjang Andak tiba-tiba bercakap semula dalam bahasa luar biasa. Kali ini ada nada bunyi marah. Berlaku hilai ketawa yang menyeramkan dari tebing sungai.
Sambil itu suara Panjang Andak bertambah kuat sambil menumbuk kedua-dua belah pahanya. Sampan bagaikan bergegar malah hampir tidak stabil tetapi masih selamat.
Lembaga berpakaian putih berterbangan mengelilingi mereka sambil mengilai ketawa yang menakutkan. Tetapi sepantas itu entah bagaimana Panjang Andak melontar satu benda dan mengena lembaga berkenaan lalu menghilangkan diri dengan jeritan paling dahsyat.
“Kita balik aje,” Panjang Andak mengarah dan sampan yang dipandu itu berpatah balik.
“Lubuk Cawan tak benarkan kita ke sana, bahaya!,” celah Panjang Andak.
Mereka pulang dengan seribu tanda tanya. Bagaimana Panjang Andak tahu segala rahsia sedangkan lubuk itu tidak ditemui. Nathan menamatkan cerita misteri berkenaan sambil mendakwa Panjang Andak ada keistimewaan yang diwarisi daripada ayahnya Batin Pandak Long.
Peristiwa Panjang Andak bertarung dengan buaya dan menentang pontianak ketika dalam perjalanan ke Lubuk Cawan menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan sampai akhir hayat. Penulis yang bertemu Nathan di warung Rajis terpegun dengan satu misteri yang terlalu sukar dipercayai. Misteri tetap misteri, setiap yang berlaku di luar kawalan kita sebagai manusia yang paling berkuasa di alam ini hanya Allah.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Beruk gergasi kaut ikan dalam bot
Oleh Saiful Bahrin Mohd ShariffCERITA yang hendak dikongsi ini benar-benar berlaku ketika sekumpulan pemancing meneroka perairan Pulau Jerejak pada April 2003 lalu. Pada suatu malam selepas selesai mesyuarat di pejabat, penulis dan seorang rakan - Suhairi, singgah makan dan minum di sebuah gerai di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sambil berbual datang pula rakan baik kami seorang peguam. Uzair namanya.
Perbualan kami malam itu semakin rancak apabila kehadiran seorang lagi penduduk tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Pak Long Din juga dari Bukit Mertajam. Topik malam ini bertambah menarik apabila tajuk cerita bertukar mengenai memancing. Pak Long Din orang yang paling menyerlah cerita pengalaman pasal ikan dan memancing.
Maka terjadilah perjanjian bersama Pak Long Din untuk keluar memancing di perairan Pulau Pinang seperti yang diceritakan. Masa yang ditunggu tiba. Maka bermula operasi kami dengan menaiki bot Pak Long Din di Batu Maung, Pulau Pinang. Kumpulan kami - Suhairi, Uzair dan penulis.
Jam tangan menunjukkan hampir jam 11 malam. Di lokasi pertama tiada sambutan memberangsangkan. Hanya anak kerapu dan gelama saja. Oleh kerana kurang yakin, Pak Long Din mengubah haluan ke lokasi Pulau Jerejak. Di perairan pulau berkenaan sambutannya juga hambar. Pak Long Din mulai tercabar dan agak malu dan apa yang digebangkan pada hari itu tidak menjadi.
Kami bertukar tempat lagi. Kali ini tidak jauh dari lokasi kedua tadi. Di lokasi ini agak menarik. Terdapat dua batu besar yang hampir tenggelam di pinggir Pulau Jerjak. Di sini barulah ada keyakinan sedikit. Ikan lapar agaknya. Kami tidak jemu melayan sentapan yang agak besar seperti kerapu, jenahak dan sebagainya. Pak Long Din tersenyum puas. Rasa malunya kian hilang. Apatah lagi beliau menaikkan pari hampir 15 kilogram dan hanya menggunakan tali koyan saja. Manakala Suhairi tidak henti-henti memutar kekili pancingnya sambil berteriak kegirangan.
Dalam keghairahan, Uzair tiba-tiba terpandang sesuatu lantas mencuit bahu penulis lalu bertanya: “Kau nampak sesuatu tadi?”
Sambil dia menunjukkan ke arah batu besar yang berdekatan dengan bot kami. Lantas penulis menjawab: “Aku tahu, tapi jangan bising. Diam sajalah”.
Beliau bertanya lagi: “Macam mana ada orang duduk atas batu tu. Macam mana dia panjat batu tu?”
Penulis cuba menenangkan fikirannya dengan memberitahu mungkin ada nelayan tempatan menunggu pukat yang dipasang dan datang dengan bot sendiri.
Kelibat orang di atas batu itu amat nyata seolah-olah sedang menghisap rokok. Pak Long Din merasainya dengan apa yang penulis beritahu dan mengakui dengan soalan Uzair, cuma mereka buat selamba saja.
Tiba-tiba kelibat orang itu hilang daripada pandangan. Penulis mulai cuak dan risau. Sementara itu, Suhairi tidak henti-henti menaikkan ikan sambil bergurau. “Hoi.... kau orang tengok ni.... Jenahak besar...,” katanya.
Penulis dan Uzair hanya senyum tawar.
Tiba-tiba Uzair bersuara: “Syok la... nanti naik hantu air baru padan muka...”
Penulis dan Pak Long Din tersentak dengan gurauan Uzair.
Tidak lama kemudian perkara pelik berlaku apabila hasil tangkapan Suhairi hilang satu persatu dari atas bot. Lantas beliau bersuara: “Siapa pulak sapu ikan aku ni...!”
Kemudian Pak Long Din bersuara: “Kamu duduk diam-diam... dia datang dah...”
Kami kehairanan. Kemudian bot kami rasa terumbang ambing seperti ada orang memanjatnya. Tiba-tiba wajah seekor berok berbulu tebal dengan sepasang mata yang merah berada atas bot . Penulis, Uzair dan Suhairi kecut perut dan seperti hendak pengsan. Suhairi terkencing dalam seluar. Apa boleh buat, kerana dia terlalu takut. Lembaga berkenaan merayap dengan menghulurkan tangannya yang panjang mengambil ikan kami.
Pak Long Din naik angin lalu bertempik dengan sekuat-kuatnya. Apa lagi meraunglah lembaga itu dan terjun ke laut berenang menuju ke Pulau Jerejak. Ketika lembaga berkenaan berada di pulau berkenaan suara jeritannya bergema hingga jelas kedengaran oleh kami dalam bot.
Hampir sejam menyepi, Pak Long Din menyambung semula aktivitinya selepas membelit semula ekor pari yang melibas badan lembaga tadi. Selepas itu, Pak Long Din menaikkan beberapa jenahak manakala kami yang sudah hilang semangat duduk berehat saja. Selepas itu kami pulang ke Jeti Batu Maung. Dalam perjalanan pulang Pak Long Din menceritakan semuanya supaya kami faham.
Kelibat orang di atas batu itu bukanlah manusia cuma penunggu pulau. Lembaga seiras dengan beruk pula adalah jelmaan syaitan dan iblis untuk mengganggu.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Makhluk menyerupai sepupu temani Hazwan
Oleh Nuri AngkasaHAZWAN memang tidak minat langsung untuk turut sama dengan kawan-kawan turun memancing sama ada di sungai, tasik lombong, kolam mahu pun di laut. Ceritalah apa pun mengenai keseronokan bertarung dengan ikan yang tersangkut di mata pancing atau bertarung dengan ikan bersaiz XL namun semua itu tidak langsung menarik minat Hazwan.
Bagaimanapun beliau tetap mempunyai seorang kawan baik yang sentiasa bercerita mengenai hobi memancing. Setiap hujung minggu atau hari kelepasan am, Hazwan sering keseorangan kerana rakannya sentiasa keluar memancing.
Masa terus berlalu. Tetapi sejak kebelakangan dia sendiri rasa tercabar apabila sepupunya, Shakila pulang dari Amerika menunjuk minat memancing yang serius walau dalam keadaan berdepan dengan kesibukan dengan kerja dalam sebuah syarikat swasta.
Shakila ketika belajar di luar negara sering turun memancing dan bermalam di tengah laut bersama rakan pelajarnya. Menyedari adanya perasaan malu setelah beberapa kali dipelawa oleh Shakila, lalu beliau menyahut pelawaan Shakila kerana ingin membuktikan bahawa dia bukan seorang lelaki yang penakut untuk turun memancing.
Seminggu selepas itu, Hazwan sudah berada dalam kumpulan rakan pancingnya yang turun memancing di tasik lama di pedalaman hutan simpan Manong, Perak. Hazwan diajar oleh rakan yang lain mengenai teknik memancing yang betul dan kemudian meneruskan aktiviti dengan sendiri.
Ketika di hutan Simpan Manong, Hazwan terus memancing walaupun ramai rakannya sudah mula berehat dalam khemah kerana sudah lewat malam. Satu jam selepas itu keadaan sekeliling menjadi sepi tetapi Hazwan tidak merasa takut walaupun dia seorang saja yang masih memancing dengan ikan tidak seberapa yang dia dapat. Dalam keadaan sunyi dan sesekali angin lembut bertiup, Hazwan terkejut apabila muncul Shakila dengan tiba-tiba lalu menceritakan bahawa dia dengan dua rakan pancing yang lain sedang berada di hujung tasik sebelah hulu tetapi tidak berapa jauh dari khemah rakan Hazwan.
Shakila mempelawa Hazwan untuk berpindah ke lokasi berkenaan yang didakwa ada banyak ikan. Hazwan tanpa banyak bicara terus pergi mengikut sepupunya ke lokasi yang sudah dibanjiri oleh ramai pemancing dalam keadaan terang benderang dan sesetengah daripada mereka sedang bersuka ria sambil minum dan makan.
“Itu kawan-kawan Shaki. Mereka ke sini bukan saja nak memancing tapi mereka nak berseronok,” Shakila menerangkan pada Hazwan apabila dilihat Hazwan mula sangsi.
Hazwan diajar oleh Shakila cara memancing. Gadis itu memberikan sebungkus mata kail untuk diikat pada tali sebagai perambut. Selepas itu mereka mencuba lalu berhasil mendaratkan ikan yang bukan sedikit. Hazwan bagaikan lupa diri dan Shakila terus melayan hingga masa sudah begitu lama berlalu lalu mereka keletihan dan tertidur.
Esoknya, awal pagi sebelum terbit matahari perkhemahan rakan Hazwan menjadi gempar. Mereka mendapati Hazwan hilang dari khemah malah hilang dalam kawasan memancing di tepi tasik yang berdekatan. Mereka terus mencari dan akhirnya terjumpa Hazwan yang masih terlena di tepi tasik yang agak jauh sedikit dari perkhemahan mereka.
Hazwan dikejutkan tetapi dalam keadaan antara jaga dan tidur dia bertanya mengenai Shakila yang didakwa ada bersama memancing dengannya malam itu. Lantas dia turut menunjuk sebungkus mata pancing dan ikan yang dipancing bersama pada malam itu.
Memang dakwaannya terbukti dengan barang-barang yang masih ada bersamanya. Peristiwa itu tidak berkubur di situ saja kerana sekembalinya daripada memancing Hazwan terus ke rumah Shakila. Dia menceritakan apa yang berlaku.
Shakila terkejut kerana beliau ada di rumah pada malam berkenaan. Persoalannya - siapa yang yang bersama dengan Hazwan memancing di tasik pada malam itu? Bagaimana dengan mata pancing yang masih ada bersama Hazwan? Misteri ini tidak berjawab hingga hari ini tetapi nyata ada makhluk yang menyerupai Shakila menjadi teman memancing Hazwan sebagai membuktikan cabaran bahawa beliau tidak penakut untuk turun memancing.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Iblis siat kulit pokok terap
Oleh Sabaruddin Abd GhaniDALAM perjalanan menaiki sampan dari Kuala Ketil menuju ke lubuk Batu Berarak di Sungai Sedim dekat Kampung Sidam, perasaan Wahab agak gugup. Fikirannya terbayang kisah yang menyeramkan pernah berlaku di kawasan lubuk berkenaan.
Bukan dia takut kepada gangguan iblis dan syaitan tetapi hakikatnya gangguan tegar yang di luar dugaan boleh membuatkan seseorang, terutama yang lemah semangat dirasuk atau kena histeria.
Dia membayangkan apa akan terjadi sekiranya seorang daripada mereka yang tengah asyik memancing tiba-tiba dirasuk dan terjun sungai! Musibah menunggu mereka. Tapah di lubuk itu pula dikatakan rakus membaham tanpa mengenal mangsa.
“Awat diam saja ni? Kurang sihat atau takut?,” kata ayah Wahab, Zakaria atau nama panggilannya Pak Ya Pacak memecah kesunyian sambil mengusap kepalanya. Fikiran Wahab yang sejak tadi diulit keresahan hilang serta merta. Dia bagaikan disuntik semangat baru.
Kira-kira jam 5 petang, mereka tiga beranak iaitu Wahab, Hassan (abang Wahab) dan Pak Ya Pacak sampai di lokasi. Demi keselamatan, mereka memilih kawasan tebing agak tinggi bagi mengelak gangguan atau ancaman sang bedal.
Setelah khemah ala kadar sekadar melindungi daripada kedinginan embun pagi siap terpacak, tiga beranak itu pun memulakan misi menjejak penghuni lubuk berkenaan. Sambil memerhatikan joran yang mula meliuk-liuk, mata Wahab melilau memantau persekitaran.
Ketika itu musim kemarau. Air sungai jernih dan mengalir lesu. Persekitaran di daratan penuh dengan pepohon besar merendang selain ditumbuhi semak dan belukar membuatkan hatinya berbisik dengan perkara yang bukan-bukan. Antara yang nyata iaitu binatang berbisa seperti ular tedung selar dan yang fantasi ialah kehadiran makhluk halus menghantui fikirannya.
Namun, perasaannya terpujuk apabila menyedari keampuhan ilmu ayahnya pasti mampu berdepan dengan apa juga bentuk mainan makhluk halus. Kalau dia hilang sabar, berselerak penunggu dikerjakannya.
“Ketika itu, lubuk berkenaan memang banyak udang galah dan baung tetapi ada benda yang selalu mengusik. Pokok rendang tempat bergayut pokok tanduk rusa menjadi persinggahan langsuir.
“Sebab itu, orang dulu tidak berminat mengambil pokok tanduk rusa untuk dijadikan hiasan di rumah,” kata Wahab yang pakar memancing udang galah menceritakan kisah Lubuk Batu Berarak yang penuh misteri 15 tahun lalu.
Wahab kini menetap di Kampung Padang, Kulim dekat Kuala Ketil. Namun dia sukar untuk melupakan peristiwa pernah dialaminya itu. Mungkin orang tidak percaya tetapi dia sendiri melihat apa yang berlaku itu di depan matanya. Menyeramkan!
Menjelang senja, habuan diperoleh Wahab dan Hassan cukup lumayan. Udang galah sebesar lengan budak dan baung berkulit kuning tanah bersilih ganti meragut umpan. Wahab saja berjaya mendaratkan lapan udang galah dan enam baung. Hassan pula berpuas hati dengan lima baung dan tujuh udang galah tidak termasuk ikan kurang komersial seperti lampam, tilapia dan kaloi.
Sejurus selepas Wahab menggantikan umpan baru, permukaan air di lubuk itu beralun agak kuat. Dari pengelihatannya disinari cahaya bulan separuh penuh, permukaan air lubuk itu mengeluarkan gelembung udara sebesar bola tenis.
Serentak itu, jorannya disambar sesuatu hingga melentuk hampir mencecah air. Wahab segera mengawal permainan tetapi terasa bebanan yang tersangkut berat seperti menarik seekor anak lembu.
Dia bagaikan tidak percaya. Jantungnya seakan-akan mahu berhenti berdenyut apabila melihat kelibat satu objek berwarna putih seperti ikan belida sebesar paha tersangkut pada mata kailnya.
Peliknya, cubaan Wahab menjinakkan ikan itu gagal apabila tali seperti terlucut setiap kali digulung. Akhirnya, terasa tali kail ringan dan tiada bebanan. Objek itu ghaib entah ke mana.
Ketika dia dan Hassan bangun untuk memberi tahu ayahnya di khemah yang baru selesai solat Maghrib, tiba-tiba terdengar bunyi libasan kuat di kawasan lubuk itu. Kedua-duanya teruja dengan fenomena yang belum pernah dilihatnya itu, Wahab dan Hassan memberanikan diri memerhatikan kejadian menyeramkan itu.
Bunyi libasan itu jelas kedengaran seperti ekor ikan besar atau papan memukul permukaan air. Percikan air hasil daripada libasan itu memenuhi ruang lubuk berkenaan. Namun, tidak kelihatan ekor ikan pun yang melibas.
“Arwah ayah yang faham sangat dengan gangguan seperti itu terus berdayung di pinggir lubuk. Dia kemudian memacakkan sebatang galah buluh ke dalam sungai. Sejurus kemudian, lubuk itu kembali tenang.
“Bagaimanapun, ikhtiar yang dibuat arwah ayah saya itu tidak terhenti di lubuk itu saja. Ketika kami makan malam berlaukkan baung dan udang panggang, iblis di seberang tebing di sebelah sana pula mengganggu," cerita Wahab lagi.
Gangguan kali ini tidak kurang hebatnya. Bunyi ribut seperti menumbangkan pokok dan mematahkan dahan. Ia bagai mahu mencabar kejantanan Pak Ya Pacak. Namun, orang tua itu tidak hilang punca. Cuma dengan berdiri seperti bertafakur menghadap ke arah tebing seberang sana, bunyi gangguan seperti ribut itu tiba-tiba berhenti.
Keesokan harinya, ketika mereka bersiap untuk pulang, Wahab terpandang sebatang pokok terap yang tersiat kulitnya seperti dipanah petir. Agak lama dia merenung ke arah pokok itu.
Wahab faham apa yang berlaku. Dia berasa bertuah dapat menimba pengalaman yang mungkin orang lain belum mengalaminya. Mungkin juga peristiwa itu atas kehendak Tuhan yang mahu menyedarkan manusia mengenai kewujudan makhluk lain di dunia ini selain manusia.
Bapa kepada empat anak itu juga pernah teruji ketika memancing di Sungai Muda dekat Bumbung Lima, tahun lalu. Ketika dia dan tiga rakan lain asyik melayan kail untuk menjinakkan udang galah, tiba-tiba terasa perahu yang mereka naiki dilanggar sesuatu bentuknya seperti balak.
Dia tidak berani menyuluh. Tindakan menggunakan sesuatu yang boleh mengeluarkan cahaya bagaikan memanggil sang bedal. Buaya cukup pantang melihat sesuatu yang bercahaya apatah lagi lampu picit. Jika nasib kurang baik, dengan sampan sekali dilibas pasti berkecai!
Selain dijadikan santapan untuk keluarga, udang galah yang dipancing Wahab dijual kepada seorang pengusaha restoran masakan ikan segar di Karangan, Kulim. Harga yang dijual amat lumayan iaitu antara RM40 dan RM50 sekilogram.
“Mereka yang ingin memancing udang galah harus mengamalkan beberapa petua atau pantang larang antaranya jangan sesekali meletakkan pendayung atau galah melintang perahu. Seelok-eloknya diletakkan dalam keadaan membujur.
“Berdasarkan pengalaman saya, petua atau pantang larang ini elok diamalkan supaya tidak diganggu buaya atau kejadian lain yang boleh mengancam nyawa,” kata Wahab lagi.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Hantu melolong di jambatan Kuala Sedili
Oleh Noh IsmailAZMAN begitulah nama yang diberi oleh abah dan emak kepada abang saya yang lebih mesra kami panggil Itam saja. Itam anak ke-5 daripada sepuluh orang adik-beradik. Sewaktu bersekolah rendah, saya, Itam serta adik-beradik yang lain suka merayap di kawasan paya dan hutan berhampiran kampung kami, pergi memancing ikan. Masa itu sekitar tahun 70-an, masih banyak lagi ikan seperti haruan, putih, terbol, keli dan lain-lain dalam paya atau anak sungai tidak jauh dari rumah kediaman kami sekeluarga.
Hari berganti hari dan tahun berganti tahun, apabila kami mencapai umur dewasa dan berkeluarga, masing-masing sudah tinggal berjauhan bersama keluarga masing-masing. Itam masih meneruskan hobinya memancing dan boleh dikategorikan sebagai pemancing tegar. Bagaimanapun Itam hanya memancing ikan air masin di kawasan laut atau pulau, tepian pantai atau kuala sungai.
Dia tidak berapa suka memancing di darat kerana geli dengan pacat. Masa kami bersekolah dulu sebut saja hutan mana yang kami tak redah di sekitar kampung kami. Pacat dan lintah hanya menjadi mainan, tapi apabila dewasa saya masih minat memancing dalam hutan, di sungai atau di jeram. Itam pulak hanya suka memancing di tempat yang mudah untuk dikunjungi, naik bot atau di tepi-tepi pantai atau kuala sungai yang tidak memerlukan kudrat yang banyak.
Sepanjang penglibatannya dalam aktiviti memancing, Itam tidak pernah berhadapan atau mengalami peristiwa ganjil atau misteri. Cuma pada zaman kami bersekolah dulu banyak juga kenangan yang agak menakutkan berlaku semasa kami pergi memancing ikan. Kami pernah di kejar binatang liar seperti beruk, terserempak dengan ular tedung selar yang berditri tiga suku badan ketika memancing udang galah di Sungai Semangar dan sesat ketika mencari jalan untuk ke Sungai Sayong.
Bagaimanapun itu semua tak menjadi penghalang kepada kami untuk meneruskan hobi yang satu ini. Apabila datang rasa gian nak memancing, Itam sanggup pergi seorang diri walaupun waktu malam. Kadang-kadang apabila anaknya tak bersekolah, Itam akan membawa sekali anak ke-3 atau ke-4 beliau. Tapi selalunya Itam lebih banyak pergi seorang diri. Itam yang tinggal di Pasir Gudang, Johor, sanggup memandu seorang diri waktu malam menuju ke Kuala Sedili di Kota Tinggi, hanya untuk melepaskan giannya memancing. Bagaimanapun semenjak berlaku satu peristiwa yang menakutkan ini, Itam tidak lagi berani pergi memancing sejauh itu seorang diri lagi. Kejadian ini berlaku kira-kira dua tahun yang lalu.
Kisahnya begini, satu malam selepas Maghrib, Itam memandu keretanya seorang diri bersama kelengkapan memancing menuju ke Sungai Sedili Kecil dari rumahnya di Pasir Gudang. Sebenarnya ini bukan kali pertama Itam pergi ke kawasan itu memancing, masuk kali ini entah yang ke berapa kali. Kawasan Sungai Sedili Kecil itu terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan Sedili Kecil dengan Sedili Besar. Di atas jambatan itulah Itam jadikan botnya memancing ikan sembilang, gemang, tetanda, siakap merah, gelama dan lain-lain.
Tiba di situ kira-kira jam 11 malam, Itam pun terus memasang joran berumpankan hirisan ikan ke dalam sungai Sedili Kecil yang mengalir di bawah jambatan. Kebetulan malam itu ada sekumpulan pemancing, memancing ikan di atas sebuah jeti kecil kira-kira 100 meter dari jambatan. Malam itu agak gelap, hanya suara mereka yang jelas kedengaran, Itam mengagak mungkin ada tiga atau empat orang sedang memancing di atas jeti itu.
Tiba-tiba Itam terdengar satu suara sayup-sayup di seberang sungai, suara itu tidak pernah di dengarnya selama ini, nak kata suara anjing bukan, suara burung pun bukan. Suara itu semakin lama semakin jelas seperti sedang melolong, seakan lolongan serigala. Suara itu bukan di atas darat tapi di udara! Serentak dengan bunyi aneh itu, tiba-tiba Itam terdengar kumpulan pemancing yang di atas jeti menjerit..
“Jangan kacau!...” Kemudian kumpulan pemancing itu bergegas masuk kereta dan.....brooom...bunyi enjin kereta mereka laju meninggalkan jeti kecil tempat mereka memancing. Itam tercengang kehairanan. Bunyi melolong yang didengar tadi sudah berada di jeti kecil tempat beberapa pemancing tadi. Tak lama kemudian bunyi melolong yang menyeramkan itu menuju ke tempat Itam sedang memancing di atas jambatan. Bunyi yang seakan-akan ketawa dan melolong itu betul-betul berada di atas pokok berhampiran jambatan itu.
Itam apa lagi terus menggulung pancing dan mencampaknya ke dalam but kereta yang sedia terbuka. Bunyi lolongan itu masih jelas kedengaran tapi entah apa bendanya Itam pun tak pasti..... yang penting...... cabut! enjin dihidupkan dan dengan pantas Itam menekan pedal minyak, memecut meninggalkan tempat berkenaan tanpa menoleh ke belakang. Semenjak itu Itam tak pernah pergi ke Jambatan Sungai Sedili Kecil lagi untuk memancing. Suara melolong yang menyeramkan itu masih terngiang-ngiang lagi di telinga Itam.... mungkinkah hantu, mungkinkah jembalang?
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Memancing di tasik, muncul di lautan
Oleh Nuri AngkasaMISTERI hilang daripada kumpulan masih mengisi halaman misteri kali ini. Semuanya mengaitkan peristiwa kaki pancing di tasik yang jauh dari perkampungan. Lokasi terpencil seperti itulah yang menjadi kegilaan sebahagian pemancing lasak.
Kumpulan yang diberi nama Pemburu dianggotai enam pemancing diketuai seorang anak ketua kampung. Rafiq, berusia 25 tahun masih bujang dan bersemangat waja dan lasak. Beliau tidak menghadapi masalah untuk turun memancing walau di mana saja dan akan bersama kumpulan enam orang.
Kumpulan anak muda sekampung yang berkawan sejak kecil itu dianggap kumpulan pemancing dermawan. Ini kerana setiap kali mereka pulang memancing sebahagian hasil tangkapan akan diagihkan kepada jiran terdekat dan saudara mara yang biasanya akan menunggu kepulangan mereka.
Tasik Lembah Buaya sering dikaitkan dengan penunggu. Namun kumpulan berkenaan tidak mengendahkan langsung cerita penduduk kampung terutama ketua kumpulan itu, Rafiq. Beliau tetap berpegang kepada kekuasaan Allah dan bukan kuasa lain tetapi beliau tidak pernah celupar mulut atau mencabar sesiapa.
Lokasi tasik itu jarang dikunjungi pemancing selain jauh dari perkampungan. Tempat itu selalu diganggu pelbagai makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi nyata ada lembaga yang berkeliaran di kawasan tasik berkenaan.
Ketika memancing beberapa jam saja di tasik itu, mereka berjaya mendaratkan 15 patin bunga dan lampam sebesar pinggan.
Bagaimanapun Rafiq cuma mendaratkan dua ikan baung sebesar lengan. Kerana patah semangat, beliau berehat di bawah pokok jejawi rendang di tepi tasik itu. Tiba-tiba Rafiq dibawa oleh seorang rakannya bernama Azizul.
Mereka meninggalkan tasik itu untuk bertemu satu kumpulan pemancing lain terdiri daripada empat orang anak muda kacak yang sudah bersedia untuk turun memancing di laut. Rafiq dan Azizul dipelawa untuk turun sama dengan menaiki bot mewah berwarna putih yang lengkap dengan radar, pengesan GPS dan sonar.
Rafiq dan Azizul tidak menolak pelawaan itu lalu turun bersama memancing di laut yang dalamnya hampir mencecah 90 meter. Rafiq dan Azizul diberi pinjam sebatang joran dan kekili setiap seorang. Mereka bertarung dengan ikan bersaiz XL daripada jenis ikan tenggiri dan belitung yang berat mencecah 15 kilogram. Umpan ikan tamban hidup yang dibawa khas dari darat paling digemari oleh spesies ikan di laut berkenaan.
Kehilangan Rafiq yang tadinya berehat di perdu pokok jejawi disedari oleh rakan sekumpulannya, Azizul lalu melakukan operasi mencari di seluruh kawasan berkenaan.
Aktiviti memancing sudah dilupakan sama sekali. Rafiq mesti dicari atau pulang minta pertolongan sambil itu mereka mohon pertolongan Allah supaya Rafiq dapat ditemukan semula. Tindakan mereka masih belum berhasil dan harapan bertambah tipis kerana ribut petir serta hujan lebat datang tiba-tiba.
Keadaan bertambah kelam kabut. Mereka mendapat semangat baru apabila melihat Ketua Kampung, Pak Misran ayah kepada Rafiq datang seorang diri menaiki motosikal tetapi aneh pakaiannya tidak basah.
“Rafiq hilang?” beliau bertanya pendek sebaik saja meletakkan motosikalnya.
“Ya tok,” jawab Azizul tenang sambil memerhati ketua kampung itu pergi ke bawah pokok jejawi lalu melaungkan azan dengan suara yang kuat.
Mereka berpandangan tetapi dalam hati turut sama berdoa supaya Rafiq dapat ditemui.
Atas kehendak Allah jua lima minit selepas azan, Rafiq muncul sambil mengheret dahan pokok mati dan berhenti. Beliau hairan melihat Azizul dan ayahnya ada di kawasan tasik itu.
“Kamu ke mana,” tanya Azizul.
“Kan kita sama memancing di laut, tetapi bot kita karam. Aku bawa engkau ke pantai. Ini engkau yang aku heret,” jawabnya keletihan dan rebah tetapi disambut dengan pantas oleh ayahnya lalu dipulihkan.
Rafiq dibawa pulang dengan satu misteri. Azizul yang membawanya ke laut dan ketua kampung tidak basah pakaiannya ketika meredah hujan lebat menjadi cerita penduduk kampung berhampiran dan misteri kumpulan yang tidak dapat dilupakan.
Tetapi bagi Rafiq apa yang berlaku pada dirinya adalah nyata dan pulangnya semula kepada kumpulan rakannya juga nyata dan benar berlaku. Hanya Allah yang mengetahui perkara benar.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Tekong muda dirasuk cahaya lampu
Oleh Nuri AngkasaKALI ini, kita mencungkil pengalaman seorang tekong veteran nelayan laut dalam di Kuala Terengganu yang cuma mahu dikenali sebagai Tok Wan yang kini sudah berusia 72 tahun. Beliau cuma sesekali saja turun ke laut untuk mengisi masa lapang.
Menurutnya ketika ditemui di Jeti Pulau Kambing, Kuala Terengganu, baru-baru ini Tok Wan masih terus percaya bahawa beberapa tempat di sekitar perairan pulau di sini terdapat kawasan keras (ada penunggu) yang kita tidak tahu atau tidak dapat melihat makhluk halus yang mendiami kawasan berkenaan.
Ceritanya sebaik saja menghabiskan sebungkus nasi dagang dari warung Mek Yam, bahawa satu rombongan pemancing dari Temerloh, Pahang yang diketuai oleh Haji Salim yang dibesarkan dalam keluarga nelayan di Sungai Pahang. Ketika itu, beliau berusia dalam lingkungan 45 tahun. Namun kedewasaan beliau sudah dapat memberikan kepercayaan oleh rakan pancing untuk melantiknya sebagai ketua kumpulan itu.
Kumpulan sepuluh orang itu dianggap sebagai team lasak di laut mahupun di sungai, tasik atau lombong tinggal di hutan belantara. Ekspedisi tiga hari dua malam kali itu menggunakan khidmat tekong muda berpengalaman luas di laut sebelah sini. Lokasi bakal diteroka ialah di Pulau Bidong tapi pilihan bukan di situ saja kerana karang atau unjam yang berselerak pastinya menjadi pilihan untuk memburu spesies ikan gred A.
Mereka meninggalkan Jeti Pulau Kambing selepas solat Jumaat dengan membawa bekal sotong segar yang dibeli dari nelayan pukat jerut yang baru pulang dari laut. Namun sotong yang disauk atau dicandat pada waktu malam tetap umpan paling digemari oleh spesies ikan di laut sebelah sini.
Selepas dua jam perjalanan, unjam pertama ditemui. Pancing apollo diturunkan untuk mendapatkan ikan segar sebagai umpan. Tekong Wan Nik Su turut membantu dengan menggunakan apollo 50 mata. Dalam tempoh yang singkat, tong nelayan berwarna merah sudah hampir setengah penuh isi ikan umpan. Mereka kemudian berpindah ke kawasan karang semula jadi untuk memancing ikan kerapu dan tambak.
Malam itu cuaca gelap. Bintang tidak ada di langit. Angin bertiup lembut tetapi sesekali bagaikan terdengar bunyi suara berlagu nyaring di kejauhan. Sambil itu keadaan sekitar kawasan itu bagaikan ada pesta dengan lampu berkelip sana-sini.
“Wah! Kita dah ada kawan!” Seorang pemancing bersuara.
“Jangan tegur. Itu bukan lampu biasa,” Haji Salim menjawab dan serta merta lampu yang bagaikan pesta itu hilang daripada pandangan.
Sesuatu sudah dirasakan berlainan terutama angin yang bertiup dan desiran air laut yang mula menggoyangkan bot besar yang mereka naiki, cerita Tok Wan yang diceritakan kepadanya oleh seorang pemancing dalam kumpulan dari Temerloh itu.
Keadaan menjadi kelam kabut apabila tekong Wan Nik Su cuba mengekori sebuah cahaya lampu yang kelihatan agak jauh di tengah laut. Kononnya, cahaya lampu itu adalah petanda lubuk ikan paling banyak. Justeru, tekong Wan Nik Su bagaikan terpukau memandu botnya menuju arah lampu yang bertambah jauh.
Haji Salim menyedari bahawa tekong Wan Nik Su sudah dirasuk. Namun sukar untuk tekong itu dipulihkan serta-merta. Bagaimanapun, dia mesti diselamatkan sebelum keadaan lebih buruk.
Bot tambah kuat bergoyang ketika Haji Salim memulakan bacaan ayat suci al-Quran dan pilihan pada ayat tertentu dalam surah ayat al-Qursi.
Beberapa kali Haji Salim menghembus ke muka Wan Nik Su tetapi dengan garang tekong itu melawan dengan bola mata merah menentang.
Haji Salim terus membaca ayat tertentu lalu menyembur air dari mulutnya ke muka tekong Wan Nik Su yang sudah mula lemah namun masih belum mahu menyerah kalah. Haji Salim terus berusaha. Dan akhirnya, tekong muda itu menyerah kalah lalu pulih dalam keadaan yang masih lemah. Namun keadaan masih belum selamat kerana tidak jauh di hadapan bot sudah menunggu sebuah pulau berbatu besar yang tentunya bakal menghancurkan bot mereka. Maka dengan pantas Haji Salim sekali lagi bertindak sebagai tekong. Enjin bot diperlahankan lalu memutar arah kemudi dan bot selamat daripada merempuh pulau berbatu besar itu. Semua menarik nafas dan bersyukur kepada Allah.
Tetapi yang aneh apabila tekong Wan Nik pulih sepenuhnya, tidak ada pulau berbatu besar pun dalam kawasan itu dan kelip-kelip api yang memukau beliau ketika dirasuk adalah petanda paling buruk bagi trip memancing kali itu dan bagi tekong Wan Nik Su juga.
Walau apa pun adalah baik jika dalam setiap trip memancing disertai sekurang-kurangnya seorang yang kuat pada agama untuk menguruskan sesuatu keadaan yang aneh dan pastikan membaca ayat Qursi sebagai satu amalan harian.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
Dollah, Ali lemas dalam satu lubuk
Oleh Nuri AngkasaPEMERGIAN Dollah yang lemas di laut ketika memancing menjadikan lubuk itu dikatakan berhantu. Tetapi kumpulan pemancing lain terus menerus menganggap lubuk itu paling banyak dihuni ikan kerapu dan pari. Hanya pemancing kumpulan Dollah yang menganggap lubuk itu keras kerana mengambil rakannya pada satu peristiwa paling menghiris hati rakan karibnya, Ali.
Ali masih terus mendiamkan diri. Dia tidak banyak bercakap. Berkawan pun jarang-jarang. Dia sesekali masih menyebut peristiwa yang meragut nyawa Dollah. Malah, dia tetap yakin Dollah masih hidup dan ada di kawasan berkenaan walaupun dia sendiri tahu jenazah Dollah sudah selamat dikebumikan.
Sesekali dia menangis kerana pemergian Dollah yang begitu cepat meninggalkan rakan pancingnya yang bercadang untuk menubuhkan Kelab Pancing Daerah Pantai di kawasan perkampungan mereka. Dia juga kadang-kadang mengakui pemergian Dollah adalah penentuan Allah. Cuma, kesangsiannya ialah kenapa di laut ajalnya terjadi.
Rakan pancing lain terus berusaha memulihkan semangat Ali yang masih dalam keadaan tidak menentu supaya kembali normal seperti sebelum peristiwa itu dan mahu mengajak turun semula ke laut memancing.
Sesuatu yang agak sukar untuk dipercayai kadang-kadang keadaannya tiba-tiba pulih mendadak dengan ingatan tidak terjejas dan mahu turun semula ke laut memancing bersama rakan pancingnya walau tidak bersama Dollah.
Apabila ingatannya normal, Ali tetap serius dan berkata: “Yang pergi dah tentu perginya. Tapi kita yang tinggal takkan terus mati sama,” guraunya kadang-kadang ganjil. Keadaan dan ingatan yang bermusim itu membimbangkan kedua-dua ibu bapanya malah rakan pancing yang lain.
Tiga bulan selepas itu, lubuk yang meragut nyawa Dollah digemparkan dengan ikan kerapu bermusim yang cuma dalam kawasan berkenaan sekali gus menjadi pesta yang jarang berlaku sebelum ini. Pemancing kumpulan Dollah dengan tidak menurunkan Ali turut berpesta dengan spesies ikan gred A itu malah terus mengakui bahawa lubuk itu adalah tukun karang semula jadi yang tidak ditemui sebelum ini.
Tetapi Ali yang sesekali pulih ingatan dapat mencium jejak rakannya yang turun memancing tanpa membawanya bersama.
“Tak apa... kamu pergi memancing tak bawa aku sama,” Ali menyatakan kecewanya pada satu pertemuan di warung ketika sarapan. Pada waktu yang sama kumpulan berkenaan sedang membuat persiapan untuk turun memancing.
“Kami bukan tak mahu ajak kamu turun sama tapi kamu belum sihat lagi,” kata Kamal cuba memujuk. Tetapi Ali dapat merasakan bahawa rakannya sudah tidak jujur lagi.
“Tak apa... engkau orang dah nak lupakan aku sebab aku ni sakit kan!” katanya sambil memandang rakannya yang sudah serba salah.
Mereka berpandangan sesama sendiri. Ali lalu bangun dan terus meninggalkan warung berkenaan. Kamal kesal mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan Ali tetapi itu adalah satu kenyataan yang mesti diterima oleh Ali, terutama dalam keadaan seperti hari ini.
Petang itu, beberapa bot pancing sudah berlabuh dalam kawasan lubuk kerapu. Malah mereka sudah meraih rezeki sebelum bot kumpulan Dollah tiba. Masih lagi dalam keadaan bagaikan pesta tetapi pesta ghairah mendaratkan ikan kerapu tidak berterusan apabila mereka dikejutkan dengan seorang pemancing dari bot lain yang berada jauh sedikit dari kawasan lubuk kerapu itu terjun ke laut lalu hilang.
Gempar di seluruh kawasan dan tekong yang mahir di laut turut terjun untuk mencari mangsa.
Tekong dari bot Ali turut membantu. Akhirnya sebelum menjelang gelap senja, mangsa ditemui jauh sedikit dari kawasan lubuk yang dicari. Kejutan berlaku lagi daripada kalangan ahli kumpulan Dollah kerana mangsa adalah Ali yang turun memancing bersama dengan tekong bot lain.
Kamal dan rakannya bingung bagaimana Ali boleh turun memancing dengan bot lain dan ajalnya kenapa di sini juga - di laut dan lubuk yang sama pernah meragut nyawa Dollah.
Ini satu misteri. Namun ajal dan tempat yang sama pula itu janji Allah, bukan kita yang menentukan. Justeru kita jangan terpesong daripada hakikat yang sebenar. Apa pun misteri tetap dengan misterinya.
*Artikel diperolehi dari laman web "BERITA HARIAN JORAN".*
1 comments:
Semua cerita dalam ni menarik bro...
Post a Comment