Pancing ikan dapat sampah
am@hmetro.com.my
2010/02/12
Kawasan tasik yang luas itu amat sesuai dikunjungi bagi menghabiskan hujung minggu bersama keluarga sama ada untuk bersukan, bersenam, berkelah mahupun untuk si kaki pancing.
Bagi kaki pancing, tasik itu satu lokasi memancing yang menjadi tumpuan kerana dekat dan mudah dikunjungi serta terdapat pelbagai jenis ikan seperti ikan tilapia, haruan, keli dan pacu.
Untuk memancing di situ, pemancing hanya perlu membayar RM15 sebulan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan akan menerima sekeping pas untuk membolehkan mereka memancing pada hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am dari jam 7 pagi hingga 7 malam.
Bagaimanapun, hasil tinjauan Metroplus mendapati tasik berkenaan kelihatan tercemar apabila airnya hitam dan berminyak serta terdapat sampah-sarap yang datang dari sistem perparitan berdekatan yang mengalirkan ke dalam tasik.
Longgokan botol kosong, tin minuman, kertas, plastik dan paling banyak bekas makanan menyebabkan air tasik seperti tempat pelupusan sampah.
“Pancing ikan, dapat sampah,” keluh seorang pemancing, Husin Abd Rahman, 64, mengenai tahap kebersihan tasik Taman Jaya yang kian membimbangkan serta mengganggu kaki pancing dan pengunjung.
“Sekarang ikan sudah berkurangan kerana air kotor dan banyak sampah. Pada waktu pagi keadaan makin teruk, keseluruhan tasik diliputi sampah dan airnya berminyak,” katanya.
Seorang lagi pengunjung yang juga penduduk sekitar tasik itu, Panneer Selvam, 42, berkata tasik dan taman rekreasi terbabit menjadi tumpuan orang ramai terutama warga kota kerana lokasi yang dekat serta mudah dikunjungi.
Sumber: HarianMetro
0 comments:
Post a Comment